Friday, 15 June 2012

Bengkel Mewarna Menggunakan Media Campuran (Mix Media Workshop)



Program ini telah berlangsung pada 13 Jun 2012 lalu yang mana dianjurkan oleh JKD Seni Visual Kulaijaya. Selaku tuan rumah aku telah merancang perjalanan program ini dari 8 pagi sehingga 4.30 petang. Dalam tempoh ini dua sesi bengkel telah diadakan iaitu Catan Alam Benda pada sesi pagi dan Catan Alam Semulajadi pada sesi petang. Puan Roslina Bt. Parumo dari SMK Sultan Ibrahim telah dilantik  sebagai fasilitator dalam program ini. Manakala guru pengiring murid pula bertindak sebagai mentor. Peserta terdiri daripada 30 orang yang mana kesemuanya merupakan murid tingkatan lima dari 15 buah sekolah.
Bengkel ini pada dasarnya bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang teknik-teknik menghasilkan sesuatu catan dengan menggunakan pelbagai media mewarna serentak. Misalnya pensel warna, warna air dan oil pastel digunakan pada masa yang sama. Kebiasaanya mereka hanya tertumpu pada satu-satu bahan mewarna sahaja ketika menghasilkan catan. Bagi pihak JKD PSV, harapan kami apabila mereka berada di sekolah masing-masing, mereka mampu memberi pendedahan ini kepada rakan-rakan mereka (in-house training).

Suasana Sesi Pagi.
Pada sesi pagi, peserta diberi latihan melukis objek alam benda yang berada dihadapan mereka seperti set cawan, set bentuk geometri dan set buah-buahan tempatan. Selepas itu mereka akan diajar kaedah terbaik mewarnakan objek-objek tersebut menggunakan media campuran serentak. Faktor kesan pencahayaan dan bayang juga diterapkan dalam latihan ini.

Puan Roslina Binti Parumo adalah seorang guru Pendidikan Seni Visual yang sememangnya terkenal di daerah Kulaijaya dalam bidang catan ini. Beliau banyak menghasilkan karya-karya catan sama ada untuk pertandingan mahupun koleksi peribadi. Justeru itu pihak JKD PSV telah menggunakan kepakaran beliau bagi membimbing para peserta.

Catan komposisi Alam Benda merupakan salah satu soalan lazim yang terdapat dalam soalan Peperiksaan Seni Visual Kertas 2611/2 SPM. Ianya kerap menjadi pilihan murid kerana kebiasaannya soalan ini tidak disertakan figura manusia dan  haiwan yang sukar untuk dilukis bagi setengah-setengah murid. Melalui bengkel sebegini, dapatlah peserta mempelajari kaedah terbaik bagi menajamkan lagi skil mereka dalam catan jenis ini.

Bimbingan dari guru pengiring dalam latihan penghasilan catan alam benda ini amat diperlukan agar peserta sentiasa dalam keadaan fokus terhadap apa yang mereka sedang lalui. Ini penting agar mereka mampu untuk mencapai objektif program ini.

Contoh Karya Catan Alam Benda Yang Sedang Dihasilkan Peserta.

Bengkel seperti ini memberi peluang kepada peserta untuk mengenal pasti kelemahan diri masing-masing dalam bidang lukisan dan catan. Seterusnya dapat memperbaiki kelemahan yang ada pada diri mereka.

Perjalanan bengkel telah berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang tidak diingini berlaku. Ini banyak dibantu oleh ahli jawatan kuasa program yang telah dilantik. AJK Persiapan Tempat & QM bagi bengkel ini telah  dipertanggung jawabkan kepada 3 orang terpilih daripada ahli Kelab Seni Visual SMK Kota Kulai. Mereka telah membantu banyak urusan penting sepanjang bengkel ini diadakan. Terima Kasih.

Pada sesi petang, bengkel diteruskan pula dengan latihan catan alam semulajadi. Kali ini peserta diajar teknik-teknik sesuai digunakan dalam catan pemandangan alam. Guru pengiring turut membantu murid mereka dalam latihan ini.

Sebahagian Peserta Yang Sedang Dibimbing Oleh Guru Pengiring.

Penggunaan media campuran seperti pensel warna, oil pastel dan warna air dalam satu catan untuk kertas Peperiksaan SPM ini mahupun di dalam folio Kajian Rekaan Seni Visual  boleh menghasilkan kesan warna yang lebih segar dan tampak kreatif berbanding jika hanya satu media yang digunakan.

Suasana Sesi Petang.
Peluang seperti ini seharusnya digunakan peserta sebaik-baiknya bagi mendapatkan kemahiran mewarna  ke tahap yang lebih tinggi kerana bengkel seperti ini tidak mungkin dapat dilaksanakan selalu di daerah Kulaijaya ini. 

Peserta juga boleh mempelajari sesuatu daripada peserta lain ketika bengkel ini berlangsung. Perkongsian maklumat dan skil individu juga antara penyumbang kepada peningkatan kemahiran peserta.

Contoh Karya Catan Alam Semulajadi Yang Sedang Dihasilkan Peserta.

Para peserta yang terlibat dalam bengkel ini telah menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam mempelajari teknik mewarna. Mereka menggunakan peluang yang ada bagi menajamkan lagi kemahiran yang mereka miliki agar berada ditahap terbaik.

Bagi pelawat yang mengunjungi bengkel ini sememangnya mereka merasakan teruja dan bangga apabila melihat para peserta berjaya menguasai teknik-teknik mewarna catan yang telah dipelajari para peserta.  Sesungguhnya bengkel seumpama ini telah berjaya memberikan impak yang menguntungkan kepada murid.

~ Sekian ~
Pihak JKD PSV Kulaijaya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan bengkel ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.







2 comments: